Aku ingin sepertinya…


Assalamualaikum w.b.t.

Agak lama blog ini tidak terisi. Sudah menjadi adat manusia, selalu mempersalahkan masa dalam hal ini termasuk ana sendiri. Alhamdulillah setinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah S.W.T dengan limpah rahmatnya, ana dan antum masih lagi menikmati nikmat iman dan islam.

Pada kali ini, ana ingin mencoretkan suatu kisah seorang yang amat ana kagumi. Jika antum semua pernah membaca satu kisah yang bertajuk “AY YAM MIN HAYATI”. Kalau dalam melayu nya “HARI-HARI DALAM HIDUPKU”. Kisah ini menceritakan seorang wanita yang begitu cekal dalam menghadapi pelbagai mehnah dan tribulasi sebagai pendokong jemaah islam. Antum ingin mengetahui siapakah wanita yang bertuah ini? Beliaulah ASSYAHIDAH ZAINAB ALGHAZALI ALJUBAILI.

Ana nukilkan beberapa kisah tentangnya. Marilah sama-sama kita menyintai orang yang berjuang di jalanNYA.

DIA adalah ZAINAB AL GHAZALI AL JUBAILI

As Syahidah Zainab Al Ghazali Al Jubali

Zainab al-Ghazali bukanlah seperti wanita biasa. Seperti Aisha Abdul Rahman, beliau merupakan rakyat Mesir dan mempertahankan hak-hak wanita Islam berdasarkan apa yang diyakini beliau sebagai fahaman Islam yang betul. Beliau dilahirkan di Al-Bihira pada tahun 1917 di dalam keluarga yang terhormat, keturunan Umar al-Khattab dan al-Hasan bin Ali bin Abi Talib. Ayah beliau juga merupakan lulusan al-Azhar.

Beliau lebih terkedepan sebagai pejuang dan aktivis Islam daripada seorang yang ulama’. Sewaktu mudanya, beliau aktif dalam pergerakan feminis, dan menyertai Kesatuan Wanita Mesir (Egyptian Feminist Union) yang diasaskan oleh Huda as-Syarawi pada tahun 1923. Beliau telah keluar daripada persatuan itu disebabkan tidak bersetuju dengan idea dan landasan perjuangan gerakan pembebasan wanita. Pada umur 18 tahun (1936), beliau mengasaskan Persatuan Wanita Islam untuk menguruskan hal-ehwal dan akitiviti-aktiviti wanita berlandaskan ajaran Islam dan tujuan ke arah Islam.

Zainab Al-Ghazali mengasaskan penubuhan “Jamaah Saidatina Muslimah”. Satu gerakan wanita yang selari dengan Ikhwan Muslimin yang mempunyai method cara dan matlamat yang sama dengan Ikhwan Muslimin.

Seorang ibu sedang mendidik anak-anaknya

Tujuan jamaah ini ialah untuk memimpin wanita Islam dan menyedarkan mereka serta mengangkat darjat mereka untuk menyebarkan panji-panji Islam, agar memahami Islam, agar wanita-wanita Islam dapat menjalankan peranan wanita dengan mengikut contoh wanita salafus soleh.

Dengan itu mereka berkeyakinan umat Islam akan dapat dibangunkan semula dan negara Islam akan dapat ditegakkan dengan lelaki yang dididik oleh wanita yang bernaung di bawah Al-Quran dan As-Sunnah. la berjuang meletakkan wanita sebagai ibu yang dapat mendidik rijal (pejuang) untuk membangunkan Islam.

Beliau sangat yakin bahawa masa depan umat ini bergantung kepada peranan ibu-ibu, oleh kerana itu gerakan beliau ini antaranya untuk memberi pimpinan yang wajar pimpinan Islam kepada wanita Islam. Untuk melahirkan rijal, tenaga lelaki yang bersedia menjualkan dirinya untuk Islam.

Tanggungjawab umat hari ini, sangat berat iaitu membebaskan diri dari kongkongan dan cengkaman sekularisma yang menguasai negara mereka, membebaskan diri mereka daripada jahiliyah yang sedang mengongkong hati dan pemikiran mereka. Tanggungjawab ini sangat berat. Sekularisma bukan sahaja wujud sebagai teori semata-mata bahkan ia wujud sebagai institusi yang mengikat teguh sesamanya.

Beliau berkeyakinan bahawa Daulah Islam akan tetap ditegakkan kembali dengan izin Allah S.W.T dengan syarat melalui satu jalan iaitu JALAN ISLAM. Negara Islam tidak dapat ditegakkan dengan lain-lain jalan kecuali JALAN ISLAM. Menurut beliau lagi, cara utama untuk kembali kepada JALAN UTAMA ini ialah Revolusi Pemikiran (Thaurah Fikriyah) — satu revolusi yang dapat mengubah pemikiran Jahiliyah kepada pemikiran Islam, berdasarkan ‘aqidah Islam. Ini memerlukan Tarbiyah — pendidikan amali untuk membentuk sikap, tindakan-tindakan dan tingkah laku serta pemikiran Muslim dan Muslimah menjadi pemikiran Islam.

Beliau menyebutkan ini sebagai langkah awal dalam pembentukkan Daulah Islam. Beliau fahami ini daripada Al-Quran tentang sunnah perubahan. Sebagaimana firman Allah S.W.T. yang maksudnya “Sesunguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum itu kecuali mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka.”

Bahawa perubahan itu tidak akan berlaku kecuali adanya perubahan diri itu yang difokuskan kepada jiwa dan hati manusia. Ini merupakan satu macam ketentuan – sunnatul llah dalam mengatur perubahan sejarah. Bahawa perubahan diri ini bermula dengan perubahan pemikiran, peribadi dan tingkah laku diri manusia. Inilah fahaman beliau yang mendalam tentang Islam. Beliau menganjurkan untuk menuju kepada Daulah Islam, hendaklah mengadakan revolusi pemikiran perubahan yang pantas seperti sikap para sahabat.

ZAINAB AL GHAZALI BERBAIAH KEPADA IMAM HASSAN AL BANNA

As Syahid Imam Hassan Al Banna

Ikhwan Muslimin yang diasaskan oleh Hasan al-Banna pada 1928 mempunyai perancangan untuk mengasaskan sayap wanita di dalam pertubuhannya. Hasan al-Banna telah meminta beliau untuk mengetuai bahagian wanita dalam Ikhwan Muslimin. Beliau dan persatuannya menolak tawaran ini tetapi menyatakan persetujuan untuk memberikan kerjasama. Setelah Ikhwan Muslimin dibubarkan pada tahun 1948, Zainab al-Ghazali telah berbaiah kepada Hasan al-Banna pada tahun 1949 untuk menyokongnya dan bersama memperjuangkan sebuah daulah Islam. Malangnya Hasan al-Banna telah gugur syahid tidak lama setelah itu. Kesedihan hati Zainab telah tercoret dalam bukunya yang masyhur, Hari-hari Dalam Hidupku. Beliau menyambung perjuangan dan mengotakan baiahnya kepada pemimpin Ikhwan Muslimin yang menggantikan Hasan al-Banna iaitu Hasan al-Hudhaibi. Beliau menyertai dan bersama dengan ahli Ikhwan Muslimin terutama apabila Ikhwan Muslimin diharamkan dan mereka terpaksa bergerak secara rahsia di bawah pemerintahan Jamal Abdul Naser sekitar tahun 1950-1960an.Dalam satu temuramah dirumahnya di Heliopolis, Mesir pada tahun 1981, Zainab al-Ghazali berkata:

“Islam telah menyediakan segala-galanya untuk lelaki dan perempuan. Islam memberikan wanita semuanya-kebebasan,hak ekonomi,hak politik,hak social, hak awam dan juga hak persendirian. Islam telah memberikan hak-hak wanita di dalam keluarga lebih daripada persatuan dan agama lain. Wanita boleh berkata tentang kebebasan wanita dalam masyarakat Kristian,Yahudi dan juga masyarakat pagan, tetapi dalam masyarakat Islam adalah satu kesilapan besar untuk berkata tentang kebebasan wanita. Wanita Muslim perlu mempelajari Islam supaya mereka tahu Islam telah memberikan mereka semua hak-hak mereka.”

Inilah intipati pemikiran Zainab al-Ghazali berkenaan dengan status wanita seperti yang selalu diluahkan dan disampaikan beliau dalam ceramah-ceramah beliau dan juga karya-karya beliau di dalam majalah al-Da’wa, dimana beliau merupakan editor sebuah ruangan untuk pembangunan rumah tangga Muslim yang sebenar. Perkara utama dalam perjuangan beliau adalah pentarbiyahan, iaitu untuk memberi kefahaman Islam di dalam pemikiran wanita, mendidik mereka tentang hak-hak dan tanggungjawab mereka dan mengubah masyarakat untuk membina sebuah daulah Islamiah yang berpandukan al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw.

KETEGUHAN ZAINAB AL GHAZALI MENGHADAPI FASA-FASA PENYIKSAAN

Meremang bulu roma di saat mendengar kisahnya. Meski demikian, keyakinanannya akan pertolongan Allah swt., kelazatan iman yang dirasakannya, serta tekad yang membaja membuat ia terus bersabar. Pada Ogos 1965, Rumah Zainab Al-Ghazali digeledah oleh beberapa tentara, tanpa ada izin terlebih dahulu.
Tatkala ia meminta diperlihatkan surat penggeledahan, mereka menjawab, “Surat tugas yang mana, hai orang gila! Kami sekarang dalam masa, dimana kami bebas melakukan apa saja yang kami kehendaki terhadap kamu.” Tanpa penjelasan lain yang menjadi bukti, mereka terus mengheret Zainab Al-Ghazali keluar rumah dan dibawa dengan kereta. Tanpa pembelaan, muslimah yang

penjara no. 24

tekun beribadah ini terus dimasukkan ke penjara. Namun dia tetap sabar dan mengharap pahala dari Allah swt. atas ujian yang diterimanya itu. Ia dimasukkan ke dalam ruangan penjara bernombor 24.

Kisah tahanan ke atas Zainab Al-Ghazali adalah sangat mengkagumkan, kerana seorang wanita telah dapat menanggung penyeksaan yang lebih berat dari penyeksaan ke atas lelaki. Beliau menyebutkan, sebelum ia ditahan, Jamal Nasser memerintahkan Jamaah Saidatina Muslimah dibubarkan dengan menghantar notis melalui mahkamah, dan akan menarik notis pembubaran itu dengan syarat Zainab Al-Ghazali mestilah berkerjasama dengan Parti Istrokiyah. Zainab Al-Ghazali menolak, kemudian ia ditawarkan menjadi Menteri Kebajikan Masyarakat, beliau menjawab: “Dalam perjuangan ku tidak bercadang untuk menjadi menteri aku hanya mahu berdakwah” Jamal Nasser telah putus asa memujuk Zainab Al-Ghazali untuk masuk Parti Istrokiyah, Jamal Abdel Nasser memerintahkan untuk menangkap Zainab Al-Ghazali

Sewaktu beliau dibawa keluar dari rumahnya satu pembunuhan telah dirancangkan. Sebuah kereta merempuh kereta yang membawa Zainab Al-Ghazali. Setelah rancangan awal ini gagal, akhirnya Zainab di tahan setelah di tangkap semula, setelah di bebaskan pada tahun 1964.

Zainab Al-Ghazali terus dibawa ke penjara dengan sebuah kereta, dalam perjalanan itu dimaki hamun yang tidak dapat diterima oleh akal dan tidak dapat digambarkan oleh fikiran. Setelah sampai ke penjara ia diseret ke bilik kurungan dengan kata-kata yang kesat, yang tidak wajar dihadapkan kepada binatang, apatah lagi kepada manusia. Mereka mengugut untuk membunuhnya seperti mana yang mereka lakukan kepada berpuluh-puluh anggota Ikhwan Muslimin, mereka mengugut untuk menanam hidup-hidup seperti mana yang mereka lakukan kepada berpuluh-puluh orang yang sealiran dengan Zainab Al-Ghazali. Dengan kata-kata yang kasar, ia diheret kebilik kurungan oleh seorang lelaki yang bertubuh besar seperti syaitan hitam. Zainab Al-Ghazali mengesahkan saya berdoa dalam hati saya. “Ya Allah, kurniakanlah ke atas ku ketenangan, dan tetapkanlah pendirian ku bersama-sama pendukung-pendukung kebenaran, dan tabahkanlah hati ku dengan mengingati Engkau, dan kurniakanlah akan daku keredhaan dengan perkara yang Engkau redhai”.

Itulah yang dapat saya katakan. Kemudian saya terus dimasukkan ke dalam bilik kurungan. Dalam bilik kurungan itu ada dua orang lelaki (syaitan) yang sedang duduk di atas meja membelek-belek buku catitan, yang saya tahu itu adalah buku catitan Syahid Abdul Fatah Ismail. Tahulah saya bahawa Abdul Fatah juga ditangkap ketika itu.

Di waktu itu saya mendengar azan ‘Asar… saya bersyukur kerana Allah SWT telah menyelamatkan saya dari “keganasan syaitan”. Saya dapat menunaikan sembahyang, dan tiba-tiba datang lagi syaitan durjana, dengan sikap yang kasar dan keras memerintahkan saya ke sel kurungan. Saya diheret ke sel kurungan dan penyeksaan pun bermula. Semasa saya diheret ke sel kurungan, saya melihat dalam sel penjara itu tubuh-tubuh manusia yang diseksa, tahulah saya bahawa mereka dari keluarga Ikhwan Muslimin. Mereka sedang diseksa dan dipukul, memenuhi sel-sel penjara itu. Mereka adalah pemuda-pemuda yang saya sifatkan sebagai anak-anak saya, pemuda yang pernah dan sering datang meminta pengajaran dan nasihat dari saya. Saya berdoa “Ya Allah tetapkanlah pendirian kami, Ya Allah peliharalah kami daripada kejahatan orang-orang yang jahat.”

Saya dimasukkan ke dalam sel kurungan, kuasa letrik dinyalakan dengan kuat, sebagai satu bentuk penyeksaan. Bilik itu dipenuhi anjing-anjing, anjing-anjing yang saya tidak tahu berapa banyak bilangannya.

anjing yang sedang kelaparan; dibiarkan lapar selama dua minggu

Anjing-anjing itu dilepaskan kepada saya. Saya memejamkan mata dan meletakkan dua tangan saya ke dada saya, kerana saya gerun melihat anjing-anjing ganas lagi lapar itu. Saya dengar pintu ditutup dengan rantai dan dikunci. Saya merasai seluruh tubuh saya dikerumuni dan digigit oleh anjing itu. Saya membuka mata dan kemudian memejamkan mata saya, kerana penyeksaan yang amat sangat. Ketika itu saya berdoa kepada Allah S.W.T dalam hati saya dan anjing-anjing itu terus menggigit dan menggigit, merobak-rabikkan dan memanjat-manjat seluruh tubuh saya — itulah yang saya rasai. Saya berdoa “Ya Allah!!! tetapkanlah hati ini dan palingkanlah hati dari yang lain Ya Allah, agar hati ini melupakan penyeksaan ini. Ya Allah!!”

Kemudian saya dengar pintu dibuka orang, dan saya dibawa keluar. Saya menyangka pakaian saya yang putih bersih ini berlumuran darah. Itulah yang saya rasai dan sangkakan. Alangkah terkejutnya saya, tiada apa apa kesan, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Saya tahu bahawa Allah S.W.T bersama-sama dengan saya. Maha suci Engkaulah Wahai Tuhan ku.

Beliau mengeluh dan merasai ni’mat kurniaan Allah yang tinggi serta kemurahan Allah S.W.T kepadanya dan pemeliharaan Allah kepadanya.

Zainab Al Ghazali menceritakan; syaitan yang memegang tangan saya bertanya kepada saya: Bagaimana anjing-anjing itu tidak merubak rabikkan daging engkau. Bagaimana anjing itu tidak menggigit engkau!!! Ada dua orang syaitan ketika itu, masing-masing memegang belantan di tangan mereka.

Waktu itu hari hampir ‘Isyak… kerana bayang-bayang dari luar kelihatan kemerah-merahan. Saya dibiarkan bersama anjing-anjing itu selama tiga jam. Inilah satu bentuk penyeksaan yang saya rasai. Saya berserah bulat kepada Allah S.W.T kerana lebih berkuasa dari segala-galanya. Kemudian peningkatan penyeksaan pun diteruskan. Satu ketika saya direndam dalam air sejuk, pada hal ketika itu musim sejuk dan dilepaskan pula udara sejuk.

Beliau menyatakan, satu ketika ia melihat surat arahan tulisan tangan Jamal Abdel Nasser (la’natullah ‘alaih) kepada pegawai penjara yang memerintahkan supaya Zainab Al-Ghazali diseksa lebih dari seksaan terhadap lelaki.

Demikianlah! segala macam penyeksaan mereka lakukan. Bermula dengan gigitan anjing-anjing, ke dalam sel yang berisi air dan udara sejuk dan macam-macam lagi penyeksaan dengan segala sepak terajang dan pukulan-pukulan cota yang menyebabkan Zainab Al-Ghazali terpaksa dirawat di hospital beberapa kali.

ZAINAB AL GHAZALI MERANGKA PROGRAM TARBIAH

Sebagaimana pejuang-pejuang Islam yang lain, beliau juga kecewa dengan revolusi Mesir 1952 yang didokong mereka pada mulanya dan akhirnya pejuang Islam telah dikhianati oleh Jamal Abdul Naser. Zainab al-Ghazali menyatakan bahawa rejim Jamal Abdul Naser adalah musuh kepada Islam. Setelah beberapa tokoh Ikhwanul Muslimin ditangkap dan dihukum mati dan ramai dipenjara, beliau mendahului pergerakan untuk menolong isteri, janda dan keluarga pejuang yang telah dibunuh dan dipenjarakan. Walaupun dipenjara, beliau meningkatkan usaha tarbiyyah secara rahsia diketuai oleh pimpinan Ikhwan Muslimin. Dalam tahun 1962, beliau dapat berhubung dengan Sayyid Qutb melalui dua orang adik Sayyid Qutb dan menerima tulisan beliau berkenaan perjuangan Islam dan tafsir al-Quran dan hadith serta syariah Islam. Beliau juga menerima sebahagian dari buku yang dikarang oleh Sayyid Qutb dalam penjara yang kemudian diterbitkan dengan judul Ma’alim Fit-Tariq (Petunjuk Sepanjang Jalan).

Tulisan dan petunjuk daripada Sayyid Qutb di dalam penjara dan juga ayat-ayat al-Quran akan dipelajari dalam satu kumpulan terdiri daripada lima hingga sepuluh pemuda yang berjumpa pada waktu malam di rumah Zainab ataupun tempat lain. Perbincangan, pandangan dan pendapat diutarakan di dalam pertemuan tersebut. Dengan persetujuan Sayyid Qutb dan pimpinan Ikhwan Muslimin, keputusan untuk menjalankan program tarbiyyah selama 13 tahun sepertimana zaman Rasulullah saw di era Mekah. Apabila tempoh ini berakhir, maka studi dan kajian akan dibuat adakah sekurangnya 75% daripada rakyat Mesir sudah yakin dengan keperluan adanya daulah Islam dan membangunkannya. Jika ianya terjadi maka gerak kerja menubuhkan daulah Islam akan dilakukan dan jika belum lagi mencapai tahap tersebut, program pentarbiyahan akan dilakukan semula selama 13 tahun lagi sehingga sehingga rakyat bersedia untuk membina daulah Islam, menerima pakai undang-undang syariah Islam dan menegakkan hukum Islam berpandukan al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw.

Apabila kerajaan Mesir berasa curiga dengan perkumpulan rahsia dan matlamat mereka ini, Ikhwan Muslimin diserbu pada tahun 1965. Ikhwah dan akhawat pergerakan Ikhwan Muslimin semuanya ditangkap dan dipenjarakan. Zainab al-Ghazali adalah salah seorang daripada mereka. Jemaah wanita Ikhwan Muslimin dibubarkan. Beliau dibicarakan bersama sahabiah yang lainnya pada tahun 1966 dan dihukum penjara seumur hidup dengan kerja berat. Satu hukuman yang tidak masuk akal bagi seorang wanita. Namun pada tahun 1971, beliau telah dibebaskan apabila kematian Jamal Abdul Nasir dan Anwar Sadat mengambil alih tampuk pemerintahan. Betapa berat kakinya untuk meninggalkan saudaranya Hamidah Qutb, tapi apakan daya semuanya diserahkan kepada ALlah S.W.T, kerana Allah S.W.T lebih berkuasa dari segala-segalanya. Tidak lama kemudian Hamidah pun dibebaskan. Menurutnya, satu perkara yang menguatkan beliau sanggup menanggung penyeksaan, kerana beliau sering berjumpa Rasulullah S.A.W dalam mimpinya. Oleh itu beliau yakin bahawa perjuangannya adalah benar dan jalan yang ditempohinya adalah benar. Rasulullah S.A.W bersabda “Syaitan diharamkan menyerupai ku”. Oleh itu ia bermimpi berjumpa Rasulullah S.A.W adalah satu perkara yang benar.

PULANG KE RAHMATULLAH

Zainab al-Ghazali kembali ke rahmatullah pada hari Rabu 3 Ogos 2005 di kala umur beliau 88 tahun. Ternyata umur yang panjang yang dianugerahkan Allah pada beliau telah digunakan tanpa sia-sia sedikitpun, semuanya dikorbankan demi menegakkan agama Allah yang mulia. Beliau terus menjadi idola dakwah kepada pejuang-pejuang Islam di seluruh dunia. Beliau juga menjadi bukti kukuh bahawa sebenarnya Islam mampu membina wanita yang berjuang untuk Islam. Sejarah hidup beliau persis hidup srikandi di teratak Rasulullah saw. Jadi tidaklah salah jika kita menggelarnya sebagai Ummul Mujahidah pada masa kini. Moga Allah mencucuri rahmat yang melimpah ruah kepada beliau dan menjadikan beliau di kalangan para siddiqin,amilin dan mujahidin.

Sumber asal :

http://mkelana.wordpress.com
http://dakwah.info/biografi-tokoh/51-daieyah-zainab-al-ghazali
http://cheekylulu.wordpress.com/2008/06/13/pengorbanan-zainab-al-ghazali/

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s